YB Menteri Saksi Pemeteraian MoU Pertukaran Rekod Perubatan PPUM, SASMEC@IIUM
Semangat kolaborasi strategik atau 'nexus' antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi teras utama dalam usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memacu inovasi kesihatan digital yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata demikian ketika menyaksikan upacara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Pertukaran Rekod Perubatan (Medical Record Exchange) antara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM) bersempena Majlis Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit di sini siang tadi.
Menurut beliau, KPT sentiasa menggalakkan universiti untuk berkongsi kepakaran dan tidak bersaing sesama sendiri, sebaliknya membangunkan sistem secara bersama untuk kepentingan nasional.
YB Menteri turut menggesa semua universiti untuk duduk bersama membangunkan sistem sendiri berbanding bergantung kepada pembelian solusi daripada pihak luar, selaras dengan kejayaan pembangunan bakat dalaman PPUM.
Majlis itu turut meraikan pelancaran sistem 'Mobile Patient Journey' dan 'Virtual Ward' PPUM, yang dibangunkan menggunakan aplikasi AI untuk mengubah pengalaman pesakit daripada rumit kepada senang.
Beliau menambah bahawa dunia kesihatan moden bukan lagi tradisional, di mana AI kini memainkan peranan penting dalam aspek diagnostik dan prediktif rawatan.
Kerjasama strategik antara PPUM dan SASMEC@IIUM tersebut akan mewujudkan satu ekosistem data kesihatan yang bersepadu dan efisien, memanfaatkan keupayaan analitik data raya (big data).
Usaha itu juga mengangkat nilai ihsan dan kecekapan, selari dengan semangat Malaysia Madani yang menjadi pegangan kerajaan masa kini.
Turut hadir Naib Canselor UM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Pengarah PPUM, Prof. Dr. Nazirah Hasnan; dan Pengarah SASMEC@IIUM, Prof. Dato' Dr. Mohamed Saufi Awang.
- Last updated on .
- Hits: 135