YB Menteri Puji KDH Lahir Graduan Seimbang Akademik Dan Agama

YB Menteri Puji KDH Lahir Graduan Seimbang Akademik Dan Agama
English translation not available for this content.

Petang semalam Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah berbuka puasa bersama pengurusan tertinggi dan para pelajar Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Dahulunya dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI), KDH merupakan kolej swasta Islam yang terawal ditubuhkan di Malaysia sejak 1989.

Dalam ucapannya, beliau memuji kegigihan dan kecemerlangan KDH dalam menghasilkan graduan-graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah turut dititikberatkan hal ehwal agama.

"Keseimbangan ini yang kita mahukan dalam diri setiap mahasiswa agar mereka keluar daripada mana-mana institusi sebagai seorang yang akan menyumbang kepada ummah dan masyarakat," ujar beliau lagi.

Sehingga kini, KDH telah pun melahirkan ribuan graduan dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Islam, Perakaunan Islam, Syariah, Usuluddin, Ijtima’i, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Pengajian al-Quran, Pengurusan Perbandingan dan Undang-Undang Perbandingan di peringkat diploma.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong apa sahaja program dan aktiviti yang mampu melonjakkan pendidikan tinggi negara ke tahap lebih baik.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek itu, beliau bersama Timbalannya telah melancarkan Tabung Amanah KDH.

Usai pertemuan dengan semua jemputan, YB Menteri mendoakan agar KDH akan terus berjaya dan melahirkan lebih ramai graduan berpotensi bagi memenuhi ruang dan peluang tenaga mahir yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia. 

  • Last updated on .
  • Hits: 850
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.