YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Pelantikan TNC UMK, UTHM, UPNM Dan UTeM

YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Pelantikan TNC UMK, UTHM, UPNM Dan UTeM
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada empat (4) orang Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Awam (UA) di pejabatnya pada petang ini.

Prof. Dr. Huzili Hussin telah menerima surat pelantikan sebagai TNC (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu. Beliau merupakan Profesor di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pernah memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, UniMAP selama tujuh (7) tahun bermula tahun 2013 hingga 2020.

Seterusnya, YB Menteri turut menyerahkan surat lantikan kepada Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Sebelum dilantik ke jawatan ini, beliau merupakan Dekan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM sejak tahun 2019.

Selain itu, Kol. Prof. Dr. Khairol Amali Ahmad (Bersara) telah turut menerima surat pelantikan sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baharu. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNM selama lima (5) tahun sejak tahun 2017 sebelum dilantik sebagai Penolong Naib Canselor di UPNM pada tahun 2022 lalu.

Akhir sekali, YB Menteri telah turut menyampaikan surat pelantikan semula kepada Datuk Prof. Madya Dr. Sabri Mohamad Sharif sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau telah memainkan peranan besar dalam pembangunan pelajar di UTeM khususnya dari aspek kebajikan pelajar melalui pelbagai program bantuan kepada pelajar seperti TUAH Food Care @ Campus, T-Rezeki, Bitara Kasih TUAH dan Bitara Kasih Ramadhan. Pelantikan semula ini akan membolehkan beliau untuk terus memperkasakan program-program pembangunan pelajar dalam menyediakan graduan yang kalis masa hadapan.

Pelantikan TNC (Akademik dan Antarabangsa) UMK dan TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM akan berkuat kuasa mulai 15 September 2024.

Manakala pelantikan TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM dan TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM masing-masing akan berkuat kuasa pada 17 September dan 1 Oktober depan.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1559
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 07 February 2025, 01:24:25.

sirim-logo