YB Menteri Menyampaikan Rumusan Dalam Majlis Penutup SPHT KPT 2025

Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (SPHT KPT 2025) yang berlangsung sejak Jumaat lalu telah melabuhkan tirainya tengah hari tadi dengan sesi townhall bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi.
Ketika menyampaikan rumusannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkongsi visi jelas mengenai hala tuju pendidikan tinggi negara sebagaimana aspirasi YAB Perdana Menteri kepada beliau.
Pertamanya, beliau menekankan bahawa falsafah pendidikan perlu memberi fokus kepada aspek kemanusiaan, memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan nilai-nilai moral, spiritual, serta tanggungjawab sosial.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh pelan pembangunan pendidikan tinggi dengan keseimbangan antara teori dan amalan, sambil menekankan kepentingan pelaksanaan yang berkesan supaya ia tidak menjadi indah khabar dari rupa.
Menyentuh isu autonomi institusi pendidikan, beliau menyeru agar kebebasan institusi atau 'academic freedom' terus dapat dipertahankan melalui penggubalan akta-akta berkaitan kelak, memastikan sumbangan golongan akademia dalam rencana pembangunan negara terus dihargai.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menggariskan lima (5) fokus utama yang termaktub dalam Amanat 2024 pada Januari lalu dan peri pentingnya dalam usaha beliau memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara.
Malah, beliau juga menekankan peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai pusat utama yang perlu diberikan sokongan padu bagi membangunkan kepimpinan dalam sektor pendidikan tinggi tempatan, sama ada awam ataupun swasta.
Selain itu, kerjasama antara universiti dan industri menjadi salah satu keutamaan beliau, dengan harapan jalinan strategik tersebut dapat membuahkan pelbagai inovasi serta penyelesaian yang bersifat menang-menang.
Turut menjadi perhatian adalah keperluan untuk sistem Politeknik dan Kolej Komuniti dipugar bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Begitu juga kepada sektor Universiti Awam (UA) yang telah diingatkan mengenai kepentingan mengukuhkan model kewangan masing-masing agar kekal mampan dan lestari mendepani ketidaktentuan masa hadapan nanti.
Dalam konteks pengantarabangsaan, beliau turut menegaskan keperluan memastikan kualiti program untuk pelajar antarabangsa tidak dikompromi sambil menghargai inisiatif serta usaha semua pihak yang telah memetakan nama Malaysia di pentas global.
Terdahulu, beliau bersama Timbalannya telah turut menyaksikan pembentangan kesemua 10 Hala Tuju KPT sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para peserta petang semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta kedua-dua Timbalannya, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
- Last updated on .
- Hits: 582