YB Menteri Hadir Syarahan "Leadership Through Mercy Not Power", Hurai Konsep Kepimpinan Penuh Rahmah

YB Menteri Hadir Syarahan "Leadership Through Mercy Not Power", Hurai Konsep Kepimpinan Penuh Rahmah
English translation not available for this content.

Penerapan nilai kasih sayang dan pengaruh positif dalam kepimpinan menjadi intipati utama agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki keperibadian tinggi.

​Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah hadir menyempurnakan program syarahan "Leadership Through Mercy Not Power" sebagai manifestasi komitmen kementerian memperkasa nilai insaniah warga kampus.

Turut dihadiri Timbalan Menteri Agama, YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, program berimpak tinggi yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam telah berjaya menghimpunkan ribuan peserta terdiri daripada mahasiswa, ahli akademik dan masyarakat awam.

​Inisiatif berskala besar tersebut merupakan anjuran KPT melalui hasil kerjasama strategik yang utuh antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), bersama Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), TVAlhijrah serta Data Sukan Consulting Sdn. Bhd.

Pendakwah tersohor antarabangsa dari Amerika Syarikat, ​Syeikh Yasir Qadhi dalam syarahannya menegaskan bahawa kepimpinan sejati adalah mengenai pengaruh yang membina karakter dan bukannya penggunaan kuasa semata-mata untuk menundukkan orang lain.

​Beliau turut menggariskan sembilan (9) prinsip bermodelkan kepimpinan Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan praktikal dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang ikhlas dan berintegriti.

​Turut berkongsi pentas adalah ulama tersohor Maghribi, Syeikh Saeed Al-Kamali yang menghuraikan konsep rahmat yang perlu merentasi segenap alam termasuk dalam menjaga hubungan sesama manusia dan makhluk lain.

​Kehadiran pimpinan tertinggi KPT dan JPM Hal Ehwal Agama membuktikan keseriusan kerajaan dalam menyepadukan elemen kerohanian dan adab ke dalam ekosistem pendidikan tinggi negara secara holistik.

​Program tersebut dilihat selari dengan hasrat KPT untuk melahirkan graduan yang seimbang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kemampanan.

​Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta para pegawai kanan Kementerian, jabatan, agensi dan Naib-naib Canselor. 

  • Last updated on .
  • Hits: 152
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo