Warga KPT Kemuka 62 Cadangan Tambah Baik Skim Perkhidmatan Kepada JPA

Warga KPT Kemuka 62 Cadangan Tambah Baik Skim Perkhidmatan Kepada JPA
English translation not available for this content.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar telah menyempurnakan Majlis Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) KPT di Dewan Za'ba, pagi tadi.

Kira-kira 250 orang hadir ke majlis itu yang terdiri daripada wakil-wakil Kesatuan Universiti Awam, Kesatuan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Wakil Hospital Pengajar, Politeknik dan Kolej Komuniti serta pihak berkepentingan lain yang mewakili skim-skim perkhidmatan di bawah KPT.

Majlis dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPT dengan kerjasama Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam (JKSMUA)itu telah memberi peluang kepada semua yang hadir untuk memberikan input, cadangan dan pandangan menambah baik SSPA.

Menurut YBhg. Dato' Seri KSU, majlis ini selaras dengan ucapan YAB Perdana Menteri di Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei lalu berkenaan keperluan untuk menambah baik SSPA oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah, insiatif ini juga selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah Bab 13, dalam Bidang Keutamaan A, iaitu “Membangunkan Perkhidmatan Awam yang Berprestasi Tinggi”, kata beliau.

Untuk rekod, terdapat 159 skim perkhidmatan di bawah KPT, dengan enam (6) daripadanya di bawah kluster pendidikan tinggi.

Majlis pagi tadi berjaya mengumpulkan sebanyak 62 cadangan penambahbaikan kepada skim perkhidmatan di bawah KPT yang meliputi tiga (3) skop kajian iaitu Perjawatan dan Organisasi, Gaji dan Elaun serta Pengurusan Bakat, yang seterusnya akan diangkat oleh BPSM KPT untuk pertimbangan pelaksanaan di pihak JPA.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato' Dr. Md Amin Md Taff; Setiausaha Bahagian, BPSM KPT, Encik Mansor Ibrahim; dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA, Encik Noorzaidi Saaim.

  • Last updated on .
  • Hits: 2135
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 29 May 2024, 21:46:47.