USM-BFSU Meterai MoU: Usaha Memperkasa Bahasa Melayu Di Peringkat Antarabangsa

USM-BFSU Meterai MoU: Usaha Memperkasa Bahasa Melayu Di Peringkat Antarabangsa
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mendukung kemartabatan Bahasa Melayu dengan menggiatkan pelbagai usaha memasyhurkan penggunaannya di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan serta melalui jalinan kerjasama dengan IPT tersohor luar negara.

Di pentas antarabangsa, KPT melalui universiti-universiti awamnya telah mengorak langkah dengan menjalinkan persefahaman untuk mewujudkan Kursi Pengajian Melayu, antaranya di benua Eropah dan India bagi menyemarakkan rasa minat dan ingin tahu dunia luar terhadap dunia Melayu.

Pagi tadi, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa peranan Kursi Pengajian Melayu di negara China melalui Beijing Foreign Studies University (BFSU), China yang telah terjalin sejak tahun 2007.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman telah menyaksikan pemeteraian tersebut yang telah dilakukan antara Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili USM manakala bagi BFSU diwakili Timbalan Presidennya, YBrs. Prof. Dr. Jia Wenjian.

Kursi Pengajian Melayu di BFSU berperanan dalam menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah, budaya, ekonomi, sosial dan politik di Malaysia, meluaskan pengaruh Bahasa Melayu di rantau Asia Timur dan mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Beijing.

Dalam ucapannya, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman berkata MoU yang ditandatangani USM ini akan menjayakan hasrat murni KPT dalam memartabatkan Pengajian Melayu yang telah dirangka melalui Model Baharu Kursi Akademik Luar Negara.

Pada majlis yang sama, sebuah nashkah penerbitan terbaharu hasil kerjasama USM dan BFSU telah turut dilancarkan iaitu Koleksi Konsep Falsafah, Pemikiran dan Budaya China (Jilid 1-5).

  • Last updated on .
  • Hits: 1503
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 29 May 2024, 21:46:47.