UniKL IPTS Pertama Juarai Piala Menteri Pendidikan Tinggi (PMPT'23)

UniKL IPTS Pertama Juarai Piala Menteri Pendidikan Tinggi (PMPT'23)
English translation not available for this content.

UniKL melakar sejarah sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Swasta pertama yang menjuarai Pertandingan Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 (PMPT'23) apabila berjaya menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan jaringan 1-0 dalam aksi final semalam.

Gol tunggal hasil jaringan sendiri pasukan tuan rumah, UKM yang juga merupakan naib juara kejohanan tahun lalu turut memusnahkan impian mereka untuk menjulang piala berprestij peringkat IPT bagi edisi kali ke-11 ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian turut hadir ke Stadium UKM untuk menyampaikan hadiah serta piala kejohanan.

Juara PMPT'23, UniKL membawa pulang wang tunai RM 12,000 berserta piala pusingan dan iringan serta medal; manakala Naib Johan, UKM membawa pulang RM 9,000 berserta medal.

Dua pasukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula berpuas hati di tempat ketiga dan keempat dengan UiTM United (UiTM Shah Alam) membawa pulang wang tunai RM 7,000 berserta medal; dan UiTMPs FC (UiTM Cawangan Perlis) membawa pulang RM 5,000.

Selain itu, UniKL turut cemerlang apabila dua pemainnya iaitu penyerang, Youssouf Chaibou Issoufou diumumkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan jumlah jaringan 11 gol, serta Muhammad Darwisy Abdullah pula dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

PMPT'23 merupakan kejohanan bola sepak IPT awam dan swasta peringkat kebangsaan yang telah disertai oleh 12 buah pasukan melibatkan 360 orang atlet dan 120 orang pegawai dengan sepak mula telah diadakan pada 14 Ogos lalu.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta PMPT'23.

  • Last updated on .
  • Hits: 1320
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.