UMT Disaran Perkasa AKUATROP Dan INOS

UMT Disaran Perkasa AKUATROP Dan INOS
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah membuat lawatan rasmi ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini pagi tadi.

Kunjungan beliau telah di sambut oleh kakitangan dan pelajar UMT diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod serta Naib Canselornya, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

Bertujahkan "Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik", YB Menteri menyeru UMT untuk meningkatkan keterlihatan mereka dalam bidang tersebut dalam misi menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.

Bercakap kepada media selepas mendengar pembentangan pencapaian dan Pelan Strategik UMT 2023-2027, beliau mensasarkan UMT untuk memperkasakan kedua-dua buah Pusat Kecemerlangan (HiCoE) iaitu Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) serta Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Menurutnya, hasil kajian yang telah dijalankan oleh AKUATROP yang berfokuskan bidang akuakultur ini bukan sahaja mampu untuk melahirkan graduan berpengetahuan malah mampu mengajak masyarakat untuk menceburi bidang tersebut melalui program pembudayaan akuakultur.

Keanggotaan UMT dalam ASEAN Fisheries Education Network turut memberi peluang kepada mereka untuk meluaskan jaringan kolaborasi dengan pihak antarabangsa dalam melestarikan bidang perikanan dan akuakultur di rantau ini.

Seterusnya, beliau menyarankan kepada UMT untuk terus membuat kajian-kajian bersepadu berimpak tinggi supaya dapat menjayakan pelbagai dasar negara seperti Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara serta Pelan Pembangunan Perikanan Negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 1622
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 May 2024, 18:16:03.