Umar, Norshafiqah Dinobat Olahragawan dan Olahragawati POLYSEA 2025

31 Mac 2026 | Kuala Nerus, Terengganu
Usaha melahirkan generasi 'The Thinking Athlete' terus menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mentransformasikan landskap sukan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Aspirasi itu diterjemahkan menerusi penganjuran majlis Polytechnic Sports Excellence Awards (PolySEA) 2025 di sini semalam.
Majlis pengiktirafan berprestij yang menghimpunkan jaguh sukan politeknik seluruh negara itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa komited menyediakan sokongan holistik bagi memastikan kelangsungan atlet yang cemerlang menguruskan masa antara akademik dan sukan.
Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa ekosistem pendidikan tinggi negara tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut menggilap potensi bakat sukan ke tahap optimum.
Pada majlis kemuncak semalam, jaguh sukan olahraga dan pemegang rekod 400 meter kebangsaan dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Umar Osman cemerlang dinobatkan sebagai penerima anugerah Olahragawan Politeknik Malaysia.
Kecemerlangan sukan TVET terus diiktiraf apabila atlet hoki Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Norshafiqah Ishak turut dianugerahkan dengan gelaran Olahragawati Politeknik Malaysia.
Majlis edisi kesepuluh anjuran Majlis Sukan Politeknik (MSP) dengan kerjasama Politeknik Besut Terengganu tersebut direka khusus bagi menyemarakkan lagi semangat kesukanan warga institusi.
KPT menyasarkan platform sokongan seumpama ini mampu mengetengahkan lebih ramai atlet politeknik untuk mewakili negara pada temasya Asian University Games (AUG) 2026 di Kuala Lumpur kelak.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato' Haji Rozi Mamat; Pengerusi MSP, Haji Azirin Abdul Aziz; dan Pengarah Politeknik Besut Terengganu, Udom Ewon.
- Last updated on .
- Hits: 273
