UM iFEST 2026 Himpun 10,000 Pengunjung, Bukti Pemerkasaan Inovasi Pemacu 'Empayar Minda' Negara

11 Jun 2026 | Kuala Lumpur
Universiti Malaya Ideas Festival 2026 (UM iFEST 2026) berjaya melakar pencapaian luar biasa dengan menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung, pempamer, pemain industri dan pakar akademik di samping menampilkan lebih 2,800 projek inovasi pelajar daripada 17 fakulti.
Festival inovasi dan penyelidikan berskala besar yang berlangsung bersempena sambutan ulang tahun ke-121 Universiti Malaya (UM) pada hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa setiap kemajuan dan kebangkitan sebuah peradaban sentiasa bermula daripada sebuah idea yang lahir daripada rasa ingin tahu, dipupuk melalui ilmu dan diterjemahkan kepada penyelesaian kehidupan.
Beliau turut memetik kata-kata Winston Churchill mengenai 'empayar minda' dan mengulas naskhah 'The Empire of Ideas' oleh Profesor William Kirby yang membuktikan kepentingan universiti memacu lonjakan teknologi negara seperti yang disaksikan di China.
Mengulas mengenai pencapaian universiti tempatan, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada UM atas kejayaan menduduki tangga ke-58 terbaik dunia dan meletakkan sasaran untuk menembusi kedudukan kelompok 50 terbaik dunia menjelang tahun hadapan.
Acara tahunan kali kedua ini memperlihatkan pendekatan holistik yang menggabungkan pameran pelbagai komponen utama universiti termasuk pameran Projek Tahun Akhir Sarjana Muda (UG FYP), penyelidikan pascasiswazah melalui International Transdisciplinary Research Conference (INTRAC), pameran penyelidikan berskala besar Universiti Malaya Research and Innovation Showcase (UMRIIS) serta karnival kerjaya UMStepUP.
Kesemua projek yang dipamerkan telah dinilai secara profesional oleh 401 juri industri dan akademik merangkumi sembilan kluster utama iaitu Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Alam Bina, Kesihatan dan Perubatan, Kecerdasan Buatan dan Inovasi Digital, Kelestarian dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Pengajian Bahasa, Perniagaan, Kewangan dan Keusahawanan, Seni, Budaya dan Industri Kreatif serta Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Melalui inisiatif ini, pelajar diberikan pendedahan dunia sebenar bagi membina keyakinan profesional sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mendokong agenda pemerkasaan pendidikan berasaskan pengalaman seumpama ini bagi melahirkan generasi pemimpin, profesional dan pencipta masa depan negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Dato' Sri Zarinah Anwar.
- Last updated on .
- Hits: 196
