TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Canselor Ke-4 UNIMAS

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Canselor ke-4 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam sebuah majlis rasmi.
Pelantikan ini menandakan peralihan penting dalam kepimpinan universiti tersebut, yang diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan UNIMAS sebagai Institusi Pendidikan Tinggi terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Permasyhuran ini juga merupakan langkah strategik dalam memastikan UNIMAS terus memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan, di samping memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat.
TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi, yang memiliki latar belakang luas dalam bidang politik, undang-undang, dan pendidikan, dilihat mampu membawa UNIMAS ke tahap yang lebih tinggi.
Pengalaman beliau sebagai tokoh yang berwawasan diyakini akan menyumbang kepada pembangunan institusi ini dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
UNIMAS, di bawah kepimpinan baharu ini, beraspirasi untuk menjadi peneraju dalam pendidikan komuniti lestari, seiring dengan visi dan misi universiti.
Sebagai Canselor, TYT Tun Pehin Sri Haji Dr. Wan Junaidi akan memainkan peranan penting dalam memberikan inspirasi dan bimbingan kepada seluruh komuniti universiti, terutamanya dalam mempersiapkan graduan untuk berdepan dengan cabaran global yang semakin kompleks.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
- Last updated on .
- Hits: 977