TVET Tonggak Kemahiran Tinggi Menjelang 2030

TVET Tonggak Kemahiran Tinggi Menjelang 2030
English translation not available for this content.

“TVET bukan laluan alternatif, tetapi keperluan strategik untuk pembangunan ekonomi dan inovasi negara.” Demikian tegas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, ketika menyampaikan ucapan pada Malaysia Education & TVET Awards (META 2025) anjuran majalah Education + TVET Asia di ibu negara siang tadi.

Beliau berkata, menjelang tahun 2030, dunia dijangka berdepan kekurangan sehingga 40 juta tenaga kerja berkemahiran tinggi di samping lebihan lebih 90 juta individu berkemahiran rendah dan sederhana yang tidak memiliki kelayakan relevan.

“Keadaan ini menuntut kita mengarusperdanakan TVET sebagai pemacu utama melahirkan tenaga kerja sedia industri, yang mampu menguasai teknologi baharu dan bersaing di pentas global,” katanya.

YB Datuk Ts. Mustapha menambah, pencapaian TVET di Malaysia jelas membuktikan keberkesanan pendekatan ini apabila pada tahun 2020 graduan TVET mencatat kadar kebolehpasaran 87 peratus, mengatasi purata kebangsaan 84.4 peratus. Malah, institusi latihan kemahiran awam merekodkan kadar 94.2 peratus, sekaligus menjadikan TVET pilihan utama majikan.

Beliau turut menekankan bahawa pusat kemahiran dan TVET kini menjadi platform penting untuk meningkatkan mobiliti sosial serta memperkukuh ekonomi masyarakat setempat.

“TVET tidak hanya menyediakan pendidikan, tetapi turut menggalakkan keusahawanan dan menjana peluang baharu yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh ekosistem TVET termasuk reformasi kurikulum, kolaborasi industri, standard pensijilan yang dipertingkat, dan pengiktirafan antarabangsa.

“Semua usaha ini adalah bagi memastikan graduan kita bukan sahaja kompetitif di dalam negara, malah memiliki keupayaan dan kelenturan menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya.

Beliau turut mengajak penyedia latihan, usahawan pendidikan, dan pemimpin institusi untuk berganding bahu menjadikan Malaysia sebagai hab serantau pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Majlis berprestij edisi keempat anjuran Education + TVET Asia ini turut mengiktiraf pencapaian 60 buah institusi pendidikan dan profesional industri yang cemerlang dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 606
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 September 2025, 04:30:59.

sirim-logo