TVET POLYCC Perlu Lahirkan Pencipta Teknologi Masa Depan, Bukan Sekadar Pengguna AI

29 Julai 2026 | Masjid Tanah, Melaka
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi masa depan yang mampu membangunkan penyelesaian baharu untuk masyarakat, bukan sekadar menjadi pengguna Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim.
Beliau berkata AI kini bukan lagi teknologi masa depan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan hari ini, justeru warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu mula bersedia meneroka teknologi generasi seterusnya termasuk Pengkomputeran Kuantum (Quantum Computing) dan Kecerdasan Buatan Kuantum (Quantum AI).
Menurut beliau, pemilihan Malaysia oleh IBM sebagai lokasi pembangunan teknologi Pengkomputeran Kuantum membuktikan negara berada di landasan tepat untuk menjadi hab pembangunan teknologi maju, sekali gus memerlukan lebih ramai bakat tempatan yang memiliki kemahiran serta keupayaan mencipta inovasi bernilai tinggi.
"Cara terbaik untuk meramal masa depan ialah dengan menciptanya sendiri," katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Inovasi TVET Kebangsaan (PERISA'26) di Kolej Komuniti Masjid Tanah, hari ini.
Beliau berkata pertandingan inovasi bukan sekadar menentukan pemenang, sebaliknya menjadi medan melahirkan idea kreatif yang mampu menyelesaikan masalah sebenar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua peserta mendaftarkan paten bagi setiap inovasi yang dihasilkan supaya hasil penyelidikan berkenaan dapat dikomersialkan serta diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi nilai tambah kepada negara.
Beliau berkata usaha melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan inovator tempatan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkukuh ekosistem TVET sebagai pemacu pembangunan bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa depan.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Kolej Komuniti Masjid Tanah dengan Prasarana Malaysia Berhad serta pertukaran Surat Niat (Letter of Intent, LOI) antara kolej itu dan ERL E-MAS bagi memperluas kerjasama dalam pembangunan modal insan TVET.
PERISA'26 yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 27 Julai menghimpunkan 118 projek inovasi daripada politeknik, kolej komuniti dan institusi TVET seluruh negara dalam lima (5) kategori pertandingan bertemakan "Kecerdasan Buatan Beragen dalam Inovasi (Agentic AI in Innovation)".
Pertandingan itu menyaksikan projek "Papan Robotik Automasi dengan Internet Benda (Automation Robotic Board with Internet of Things, IoT) (ARBoT)" dari Politeknik Port Dickson dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan, manakala "Kit Pembelajaran Internet Benda yang Menyeronokkan (IoT Fun Learning Kit)" daripada Kolej Komuniti Masjid Tanah muncul juara bagi Kategori Teknologi Maklumat dan Sains Gunaan.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah.
- Last updated on .
- Hits: 147
