Transformasi Politeknik Tingkatkan Ekosistem TVET

Transformasi Politeknik Tingkatkan Ekosistem TVET
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) perlu mengambil pendekatan transformatif dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing graduan lepasan politeknik. Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Khaled Nordin ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Minggu TVET DIGITAL POLYCC di Dewan Al-Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), hari ini.

Antara pendekatan transformasi boleh dilaksanakan ialah dengan membenarkan politeknik dipacu oleh sektor swasta dan industri, yang mempunyai kelebihan dalam teknologi dan ekosistem kemahiran. Selain itu, JPPKK turut diseru untuk mengatur strategi dan mencipta tarikan baharu agar lebih ramai pelajar serta generasi muda mempunyai minat bagi menyambung pengajian terutamanya di politeknik.

Beliau turut menegaskan bahawa pendigitalan dan inovasi dapat membantu memperluaskan akses pendidikan tinggi dalam bidang teknikal dan kemahiran kepada lebih ramai anggota masyarakat melalui pengajian anjal, menarik dan mudah dicapai.

TVET DIGITAL merupakan inisiatif oleh JPPKK sebagai usaha bagi memantapkan lagi pendigitalan pendidikan dan teknologi baharu dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).

Sebagai satu usaha dalam membudayakan aktiviti pendigitalan dalam pendidikan di politeknik dan kolej komuniti, JPPKK turut menganjurkan Pertandingan CIDOS Inspiring Learning Awards (eDOLA).

Selain itu, YB Menteri turut melancarkan Imersif ‘Digital Library’ POLYCC yang mengandungi Metaverse, EduTV platform dan repositori ShouT!TVET serta Digital Repository Library (DRL) di samping menyampaikan anugerah kepada enam (6) kategori iaitu Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK.

  • Last updated on .
  • Hits: 4402
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 09 October 2024, 08:12:06.

sirim-logo