Transformasi Pendidikan Tinggi Negara: Digitalisasi Dan Fleksibiliti Jadi Pemacu Masa Depan

Transformasi sektor pendidikan tinggi menjadi antara fokus utama dalam Forum “Penambahbaikan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan” sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam perkongsiannya menekankan kepentingan digitalisasi dan penstrukturan semula proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk memenuhi keperluan masa depan.
Menurut beliau, pendigitalan sektor pendidikan tinggi bukan sahaja mempercepatkan akses kepada pembelajaran, tetapi juga memberikan fleksibiliti kepada pelajar.
"Konsep pembelajaran hibrid, 'micro-credentials,' dan 'credit bank' menjadi penyelesaian yang membuka peluang pendidikan lebih luas, selaras dengan keperluan dan gaya hidup pelajar masa kini," katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman mempelopori sistem permohonan universiti secara atas talian pada tahun 1997, satu langkah yang mencetuskan inovasi dalam sektor pendidikan tinggi di Malaysia.
“Transformasi ini membuktikan bahawa perubahan teknologi bukan sahaja mempercepatkan proses, tetapi juga mengurangkan beban dan meningkatkan kecekapan,” jelas beliau.
Selain itu, beliau menegaskan pentingnya nilai MADANI diterapkan dalam pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga bermoral tinggi.
Dalam sesi forum tersebut, Dato' Seri Zaini menyatakan visi pendidikan tinggi yang lebih fleksibel yang mengutamakan pembelajaran digital dengan universiti masa depan dijangka mengurangkan kebergantungan kepada infrastruktur fizikal, menggantikannya dengan ekosistem pembelajaran maya yang membolehkan pelajar belajar di mana sahaja.
Beliau turut menekankan bahawa kredit pembelajaran kini boleh diperoleh daripada institusi global seperti MIT dan Harvard, membolehkan pelajar membina ijazah berdasarkan keperluan individu mereka.
Forum ini dikendalikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Zahid Ismail dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban; serta YDP Majlis Perbadanan Kulim, Datuk Haji Elmi Yusof yang turut membincangkan pendekatan inovatif dalam sektor awam, termasuk peningkatan perkhidmatan imigresen dan pentadbiran tempatan melalui teknologi.
Barisan ahli panel sependapat bahawa pelaburan dalam teknologi dan pembangunan sumber manusia adalah kunci kepada keberhasilan transformasi nasional.
Berlandaskan visi yang jelas dan usaha berterusan, sektor pendidikan tinggi negara dijangka terus menjadi pemacu utama kepada kemajuan Malaysia dalam era globalisasi.
- Last updated on .
- Hits: 406