TNC (Penyelidikan & Inovasi) UTM Dilantik Semula; UNIMAS, UMPSA Pula Terima TNC Baharu

TNC (Penyelidikan & Inovasi) UTM Dilantik Semula; UNIMAS, UMPSA Pula Terima TNC Baharu
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada tiga (3) orang Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Awam (UA) dalam sebuah sesi ringkas di pejabatnya tempohari.

Prof. Dr. Rosli Md. Illias yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semenjak tahun 2021 telah menerima surat pelantikan semula ke jawatan yang sama daripada YB Menteri berkuatkuasa 15 Jun 2024.

Beliau yang berpengalaman luas dalam urusan kepimpinan dan pentadbiran universiti tersebut, telah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik ke jawatan sekarang, juga merupakan antara tokoh utama dalam pembangunan Pelan Tindakan Penyelidikan dan Inovasi 2025 UTM.

Menurut YB Menteri, pelantikan semula ini membolehkan beliau meneruskan perancangan yang telah disusun bagi menjayakan pelan tersebut.

Selain itu, YBrs. Prof. Dr. Fitri Suraya Mohamad Hapnie Joblie turut menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang baharu.

Beliau yang memiliki latar belakang dalam bidang pendidikan khususnya bidang teknologi pendidikan dan merupakan pengasas Pusat Gamifikasi (Gamification Centre) pertama di Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui kaedah yang inovatif.

Pada sesi yang sama, YB Menteri turut menyampaikan surat pelantikan kepada YBrs. Prof. Ts. Dr. Aida Mustapha sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang baharu.

Memiliki latar belakang akademik dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang mengkhusus dalam bidang kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pelantikan kedua-dua Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA adalah berkuat kuasa mulai 4 Jun 2024.

Menurut YB Menteri, pelantikan kesemua TNC tersebut adalah signifikan dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik, pembudayaan ilmu dan peneguhan tradisi intelektual pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 313
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.