Timbalan Menteri Sampaikan Surat Tawaran Pengajian Dan Bantuan Awal Kepada Bakal Mahasiswa

Timbalan Menteri Sampaikan Surat Tawaran Pengajian Dan Bantuan Awal Kepada Bakal Mahasiswa
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk memastikan para belia melanjutkan pengajian tinggi walaupun sebilangannya berdepan dengan isu kurang berkemampuan.

Melalui pendekatan KPT sebelum ini iaitu memberikan kemudahan kepada para pelajar layak yang kurang berkemampuan untuk mendaftar dahulu di IPT dengan yuran dibayar kemudian, Kementerian terus menyantuni bakal mahasiswa ini untuk memastikan hasrat mereka ke menara gading tercapai.

Siang tadi berlangsung program turun padang yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud untuk menyantuni beberapa bakal mahasiswa di sekitar Kota Belud, Sabah.

Dalam kunjungan berkenaan, Timbalan Menteri telah menyerahkan surat tawaran serta sumbangan kepada mereka.

Ia turut disertai oleh wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyalurkan bantuan bakul makanan serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula menyampaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 bagi membantu pelajar membuat persediaan awal pendaftaran di IPT. Sebanyak 156 pelajar di Kota Belud layak untuk menerima WPP ini.

Datuk Ts. Mustapha turut mengambil peluang ini bagi menitipkan kata-kata semangat kepada mereka serta memaklumkan beberapa insentif yang boleh dimanfaatkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan ini dalam tempoh pengajian kelak.

Antaranya adalah Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG 2.0) daripada KPT, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) dari Kerajaan Negeri Sabah, dan Bantuan Pendidikan dari Pusat Zakat Sabah.

Langkah ini dilihat sebagai salah satu usaha murni kerajaan dalam memastikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan menerima sokongan penuh untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat universiti. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1342
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Sunday 16 February 2025, 13:00:25.

sirim-logo