Tahniah kepada Para Pemenang Program MOHE STAR BIZ CHALLENGE : TAIKUN MUDA

Tahniah kepada Para Pemenang Program MOHE STAR BIZ CHALLENGE : TAIKUN MUDA
English translation not available for this content.

Debaran para finalis program TV realiti MOHE STAR BIZ CHALLENGE : TAIKUN MUDA akhirnya terjawab apabila saudara Muhammad Faizal Ruhaijat dari UPSI telah dinobatkan sebagai juara sulung pertandingan tersebut.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi rakan media saluran TV Alhijrah dari Dewan Eksprimental, UMK tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang turut menyampaikan hadiah serta sijil dan trofi kepada para pemenang semalam.

Muhammad Faizal yang telah membentangkan cadangan produk Kimono Cardigan Inspired By Batik Malaysia itu telah menerima hadiah utama iaitu geran keusahawanan bernilai RM50,000, manakala pemenang tempat kedua iaitu saudari Adlina Jamaluddin dari UPM dengan produk Teh Tarik Tudya-SR, turut menerima geran keusahawanan berjumlah RM20,00.

Untuk tempat ketiga, pelajar dari UM iaitu saudara Shafiq Ramiyani dengan persembahan produk Akifcafe telah membawa pulang wang tunai RM2,500 serta sebuah motosikal, dan hadiah tempat keempat iaitu wang tunai RM1,500 juga sebuah motosikal telah dimenangi oleh saudara Muhammad Yazid Abdul Mutalib dari UPNM yang membentangkan idea aplikasi TUKANG.

Program MOHE STAR BIZ CHALLENGE : TAIKUN MUDA yang julung kalinya diadakan telah menarik seramai 89 penyertaan daripada 38 buah IPT seluruh negara dan hanya 11 orang finalis dari 9 buah IPT telah dipilih bagi berentap merebut 4 hadiah utama.

Selain itu, penganjuran program TAIKUN MUDA ini turut menjadi manifestasi Kementerian dalam memperkukuhkan lagi agenda keusahawanan di IPT dengan mempromosikan keusahawanan sebagai antara pilihan terbaik pelajar dan graduan untuk menjana pendapatan.

Turut hadir YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK, Tan Sri Hj. Mohamad Fatmi bin Hj. Che Salleh, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli bin Che Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Encik Mohd Muazzam bin Mohamed, Naib-naib Canselor universiti awam, Pengarah-pengarah Pusat Keusahawanan IPT dan tetamu kehormat yang lain.

  • Last updated on .
  • Hits: 10771
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 May 2024, 18:16:03.