SUIPTS 2026 Jadi Landasan Atlet IPT Berdaya Saing, Holistik ke Peringkat Lebih Tinggi

SUIPTS 2026 Jadi Landasan Atlet IPT Berdaya Saing, Holistik ke Peringkat Lebih Tinggi
English translation not available for this content.

19 Jun 2026 | Kota Kinabalu, Sabah

Pembangunan bakat atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terus menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan memiliki kecemerlangan sahsiah menerusi pemerkasaan budaya sukan di kampus.

Komitmen tersebut diterjemahkan melalui penganjuran Edisi Ke-2 Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) 2026 yang telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan, di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.

Dalam ucapannya, beliau berkata SUIPTS merupakan platform strategik yang bukan sahaja mengetengahkan bakat atlet IPT di Negeri Sabah, malah membuka ruang kepada mereka untuk mengembangkan potensi dan melangkah ke pertandingan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran sukan di peringkat IPT memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, fizikal dan sahsiah, selaras aspirasi KPT untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Edisi kedua SUIPTS menghimpunkan penyertaan 23 kontinjen IPT dari seluruh Negeri Sabah melibatkan kira-kira 2,000 atlet yang bersaing dalam 10 acara sukan, dengan kejohanan berlangsung bermula 18 hingga 21 Jun 2026.

Selain menjadi medan persaingan sihat, SUIPTS turut memperkukuh ekosistem sukan pendidikan tinggi melalui penyemaian nilai disiplin, kepimpinan, semangat berpasukan, integriti serta daya tahan dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran kejohanan ini juga dijangka menjadi platform penting dalam mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi mewakili IPT, negeri dan negara di kejohanan yang lebih kompetitif pada masa hadapan. 

Melalui pendekatan tersebut, KPT terus komited memperkukuh pembangunan sukan pendidikan tinggi sebagai sebahagian daripada agenda melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki ketahanan fizikal, mental dan karakter kepimpinan yang tinggi.

Usaha berterusan ini selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkasakan pembangunan modal insan secara menyeluruh menerusi ekosistem pendidikan tinggi yang mengintegrasikan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan kesukanan.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Nordin; Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub; dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin. 

  • Last updated on .
  • Hits: 232
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 June 2026, 10:47:03.

sirim-logo