Singgah Sahur YB Menteri Bersama Warga POLIMAS Disambut Meriah

Singgah Sahur YB Menteri Bersama Warga POLIMAS Disambut Meriah
English translation not available for this content.

Selepas UniMAP, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir awal pagi tadi telah singgah sahur di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) dalam siri kembara Program Semarak Ramadan beliau.

Biarpun dinihari, ketibaan beliau tetap disambut meriah dengan alunan zikir dan selawat oleh Rakan Pusat Islam POLIMAS (RAPI) yang terdiri daripada para pelajar, kakitangan dan pengajar.

Sebelum itu, warga POLIMAS telah mengisi aktiviti qiamullail malam ke-13 Ramadan tersebut dengan mendirikan solat-solat sunat dan bertadarus.

Seterusnya, YB Menteri sambil diiringi oleh Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar POLIMAS, Muhammad Faris Aqil Mohd Nasir telah beramah mesra dengan semua yang hadir sebelum menunaikan solat fardu subuh berjemaah yang dipimpin oleh Ariful Hakimi Mohd Roslan, pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLIMAS.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan kata-kata motivasi penyuntik semangat serta menyerahkan sumbangan kepada kira-kira 100 orang pelajar POLIMAS.

Sebelum berangkat pulang, beliau singgah ke asrama siswa bagi meninjau keadaan serta kebajikan para pelajar yang menghuni bangunan tersebut.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengarah POLIMAS, Rosli Idris. 

  • Last updated on .
  • Hits: 924
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.