Sinergi UMP Dan Pihak Industri Teras Penting Perkasa Bidang TVET Negara

Sinergi UMP Dan Pihak Industri Teras Penting Perkasa Bidang TVET Negara
English translation not available for this content.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) disaran untuk memperbanyak kerjasama strategik dengan pihak industri sebagai sinergi yang mampu memperkasa bidang TVET dalam memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan teknologi dan inovasi.

Bagi meningkatkan bilangan graduan TVET pula, UMP diseru untuk berganding bahu dengan tiga (3) lagi universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (Malaysia Technical University Network - MTUN) untuk merangka pelan peluasan melibatkan pembesaran kampus, pemindahan fakulti serta penubuhan cawangan baharu di seluruh negara yang boleh dilaksanakan pada Rancangan Malaysia ke-13 kelak.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan hal yang demikian kepada barisan pengurusan UMP dalam sesi lawatan kerja rasmi beliau ke sini hari ini.

Beliau bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah disambut oleh warga UMP diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, pengurusan tertinggi serta wakil-wakil mahasiswa.

Melalui taklimat yang disampaikan oleh Naib Canselornya, YBhg. Prof. Ts. Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP telah membentangkan pencapaian terkini dan perancangan masa hadapan mereka dalam menjadi sebuah universiti hijau dan lestari.

Menurut YB Menteri, "(UMP) berada pada landasan yang betul dan tepat untuk terus menyumbang kepada pembangunan kemajuan negara" berdasarkan pencapaian memberangsangkan serta jalinan kerjasama dengan pihak industri dan universiti antarabangsa yang telah dimeterai sehingga kini.

Seusai taklimat, beliau telah dibawa mengunjungi reruai pameran yang memaparkan produk-produk inovasi para penyelidik UMP yang berpotensi untuk dikomersialkan sama ada untuk kegunaan industri juga kesejahteraan komuniti.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Last updated on .
  • Hits: 2433
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 21 May 2024, 15:10:04.