Sinergi Teknologi Transformasikan Inovasi Penyelesaian Cabaran Negara

Sinergi Teknologi Transformasikan Inovasi Penyelesaian Cabaran Negara
English translation not available for this content.

Sinergi teknologi untuk transformasi inovasi adalah penting dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyelesaian kepada cabaran negara yang kompleks.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata sebagai contoh, gabungan teknologi Internet of Things (IoT) untuk perancangan bandar boleh membawa kepada pembangunan bandar pintar sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pengurusan trafik, pengurusan sisa dan penggunaan tenaga yang lebih baik.

Katanya, dalam sektor penjagaan kesihatan, alat diagnostik dipacu Kecerdasan Buatan (AI) boleh meningkatkan ketepatan diagnosis, manakala analisis data besar boleh membantu dalam menjejak wabak penyakit dan mengurus kesihatan awam dengan lebih berkesan.

“Sinergi teknologi seperti IoT, dron dan pertanian jitu boleh meningkatkan produktiviti dan kelestarian. Sensor IoT boleh memantau kesihatan tanah, paras air dan keadaan tanaman dalam masa nyata, manakala dron boleh menunjukkan imej udara untuk menilai kesihatan tanaman serta mengesan perosak,” katanya ketika berucap merasmikan Global Trends in Engineering & Science Technology Congress (GTEST) 2024 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini petang tadi.

Tambah beliau, walau bagaimanapun di sebalik potensi yang dijanjikan beberapa cabaran mesti ditangani untuk merealisasikan sinergi teknologi berkenaan yang bukan sahaja di negara ini bahkan di peringkat global.

Terdahulu, GTEST 2024 dengan tema “Synergizing Technologies for Transformative Innovastion” anjuran UniMAP menghimpunkan tujuh persidangan antarabangsa yang saban tahun dianjurkan setiap fakulti dan institut yang mempunyai pelbagai bidang tujahan utama seperti kejuruteraan bahan; kejuruteraan elektrik dan elektronik; kejuruteraan mekanikal; kejuruteraan kimia; kejuruteraan awam dan alam sekitar; serta sains sosial di universiti itu.

Sempena penganjuran GTEST 2024, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan SNRSonic Sdn Bhd, Oppstar Technology Sdn Bhd dan MHH Condition Monitoring Sdn Bhd manakala Memorandum Persefahaman (MoU) pula antara UniMAP dengan THB Maintenance Sdn Bhd, Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd dan Silterra Malaysia Sdn Bhd.

Di samping itu, perjanjian perlesenan harta intelek turut dimeterai di majlis sama antara universiti itu dengan Exacmust Sdn Bhd dan Perniagaan Banat.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1616
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 07 February 2025, 01:24:25.

sirim-logo