Sidang Media Khas YB Menteri di Parlimen: Penubuhan Education Malaysia di Arab Saudi Bakal Lonjak Kerjasama Strategik Pendidikan

Sidang Media Khas YB Menteri di Parlimen: Penubuhan Education Malaysia di Arab Saudi Bakal Lonjak Kerjasama Strategik Pendidikan
English translation not available for this content.

25 Februari 2026 | Parlimen, Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempergiat langkah strategik bagi menyelesaikan beberapa isu utama pendidikan tinggi negara termasuk penubuhan Education Malaysia di Arab Saudi dan penyerapan tadbir urus ekosistem prauniversiti.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam satu sidang media khas yang diadakan di Parlimen hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menyampaikan cadangan pewujudan Education Malaysia tersebut secara terus kepada Duta Arab Saudi yang baharu, TYT Osama bin Dakhil Al-Ahmadi.

Inisiatif diplomasi ini dirangka dengan tujuan untuk melancarkan penyelarasan program pendidikan, biasiswa, serta menjaga keselamatan dan kebajikan ribuan pelajar kedua-dua negara secara berpusat.

Dalam perkembangan berasingan, KPT memandang serius laporan mengenai insiden tular yang menceroboh sensitiviti agama di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan menasihati semua pihak supaya kekal bertenang.

Pihak pengurusan UMPSA telah pun membuat aduan rasmi dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan insiden berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk jaminan keluhuran undang-undang.

Menyentuh mengenai pemerkasaan sistem pengurusan, perancangan bagi pelaksanaan tadbir urus 'Single Window, Single Offer' disasarkan bermula pada tahun hadapan sebaik sahaja perincian teknikal diselesaikan tahun ini.

Di samping itu, jawatankuasa khas Kementerian sedang giat memuktamadkan isu perundangan dan pergerakan gaji bagi melancarkan proses pemindahan guru-guru Matrikulasi serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Langkah penjajaran tersebut dilaksanakan bagi memastikan peralihan kumpulan pendidik prauniversiti berkelulusan sarjana muda ini tidak akan meminggirkan aspek keadilan saraan kerjaya mereka berbanding skim terdahulu. 

  • Last updated on .
  • Hits: 227
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 12 March 2026, 11:58:06.

sirim-logo