Sesi Libat Urus Bersama Golongan OKU, Mantapkan Aspek Inklusiviti Ppptm 2026-2035

Sesi Libat Urus Bersama Golongan OKU, Mantapkan Aspek Inklusiviti Ppptm 2026-2035
English translation not available for this content.

Dalam usaha memantapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan satu sesi libat urus bersama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Universiti Malaya hari ini.

Sesi ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan sektor pendidikan tinggi di Malaysia lebih inklusif dan mesra OKU, seiring dengan agenda Kerajaan untuk memartabatkan hak pendidikan untuk semua golongan masyarakat.

Program yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa itu menyaksikan penyertaan aktif dari pelbagai wakil komuniti OKU, wakil Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan pegawai-pegawai kanan Kementerian.

Matlamat utama sesi ini adalah untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada golongan OKU mengenai keperluan mereka dalam sektor pendidikan tinggi, terutamanya dari aspek kemudahan fizikal, kurikulum dan sokongan akademik.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu dijadikan sebagai satu hak asasi, bukannya keistimewaan.

“KPT bertekad untuk memastikan bahawa sistem pendidikan tinggi kita memberi ruang kepada semua, termasuk mereka yang mempunyai kekurangan fizikal. Dengan kerjasama erat semua pihak, kita mampu melahirkan lebih ramai bakat OKU yang berjaya dalam bidang akademik dan profesional,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sesi libat urus ini adalah sebahagian daripada siri perbincangan yang akan diteruskan sepanjang tahun, dengan penglibatan pelbagai sektor untuk memperhalusi pelan pendidikan yang lebih inklusif.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kumpulan Pakar PPPTM (2026-2035), Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1634
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 13 February 2025, 07:17:37.

sirim-logo