Semangat Kebersamaan Dikongsi, Terima Kasih Semua Dari Langkawi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menzahirkan penghargaan dan penghormatan atas komitmen padu semua Menteri dan Pegawai Kanan Pendidikan ASEAN dalam menjayakan Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 yang melabuhkan tirainya malam tadi dalam suasana penuh muhibah di Majlis Makan Malam Gala.
Menurut beliau, Majlis Makan Malam ini bukan sekadar acara penutup, tetapi simbolik kepada semangat kesatuan dan tekad bersama dalam menjayakan agenda masa depan ASEAN melalui pendidikan.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek atas kerjasama erat menganjurkan sidang meja bulat tersebut serta menyifatkan kejelasan visi dan dedikasi yang ditonjolkan YB Menteri telah memperkukuh kesepakatan bersama dalam perbincangan yang berlangsung.
YB Menteri turut mengiktiraf sumbangan besar para pegawai Sekretariat ASEAN dan jawatankuasa penganjur Malaysia yang telah bekerja keras di sebalik tabir bagi memastikan kejayaan keseluruhan program berlangsung dengan lancar.
“Saudara-saudari sekalian adalah arkitek senyap di sebalik kejayaan ini,” ujar beliau yang menerima tepukan gemuruh tetamu yang hadir.
Beliau menyeru agar semangat kerjasama dan saling mempercayai yang terjalin sepanjang sidang diteruskan dalam pelaksanaan hasil-hasil utama yang telah dicapai bukan hanya dalam bentuk dasar tetapi melalui perubahan sebenar yang memberi impak kepada kehidupan rakyat ASEAN, terutamanya golongan belia sebagai peneraju masa depan.
Majlis malam ini turut menyaksikan peluncuran portal ASEAN Graduate Education and Mobility Services (ASEAN-GEMS), sebuah inisiatif digital oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang berperanan sebagai hab serantau untuk menyelaras program pengajian siswazah, biasiswa, pertukaran pelajar dan latihan mobiliti rentas negara ASEAN secara berpusat dan inklusif.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh para pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) serta murid-murid Sekolah Kebangsaan Temoyong, Langkawi yang memukau para delegasi dengan tarian tradisional dan persembahan bermotifkan warisan budaya tempatan.
Turut memeriahkan suasana ialah persembahan nyanyian daripada artis terkenal tanah air, Aishah Retno dan Dayang Nurfaizah yang mempersembahkan lagu-lagu penuh emosi dan semangat kebersamaan, sekaligus menyuntik aura istimewa pada malam penutup bersejarah ini.
YB Menteri menutup ucapannya dengan harapan untuk terus bekerjasama dan bertemu semula dalam masa terdekat sebagai rakan strategik, rakan sekerja dan sahabat sejati demi menjayakan visi ASEAN 2045 yang lebih aman, makmur dan bermakna.
Dengan suasana penuh keakraban dan semangat kekeluargaan ASEAN, malam penutup ini menjadi kemuncak bermakna dalam siri penganjuran sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
- Last updated on .
- Hits: 147