SEAHES 2024 Bincang Hala Tuju Masa Depan Pendidikan Tinggi Rantau ASEAN

SEAHES 2024 Bincang Hala Tuju Masa Depan Pendidikan Tinggi Rantau ASEAN
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menyempurnakan majlis perasmian Sidang Kemuncak Southeast Asian Higher Education Summit (SEAHES 2024) kali ke-4 penganjurannya di sini pagi tadi.

Program dua (2) hari bermula hari ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Bertemakan “Innovation, Ethics and Civilization: Higher Education in Southeast Asia”, sidang kemuncak ini menampilkan tokoh akademik serta industri di Malaysia dan negara di Asia Tenggara antaranya Singapura, Thailand dan Filipina yang mengetengahkan isu-isu kritikal terkini dalam ekosistem pendidikan tinggi di peringkat lokal serta global.

"Sidang ini penting dan antara objektifnya ialah untuk kita melihat kembali dasar pendidikan tinggi, terutama di negara ini dan juga di negara-negara ASEAN untuk kita berbincang bersama bangunkan hala tuju pendidikan tinggi di rantau ini bersandarkan budaya dan nilai unik kita semua," jelas beliau.

Antara topik dikupas adalah pendidikan fleksibel, teknologi kecerdasan buatan (AI), lanskap pendidikan tinggi 2035 dan peranan kepemimpinan akademik dalam kelestarian masa hadapan.

Hasil daripada perbincangan tersebut akan didokumentasikan dalam laporan komprehensif sidang kemuncak yang akan diterbitkan oleh CADe-Lead, UPM dan diangkat untuk dijadikan bahan rujukan bagi penganjuran siri webinar susulan berdasarkan tema perbincangan SEAHES 2024 ini.

Laporan ini akan mengumpulkan pandangan serta resolusi hasil sesi perbincangan meja bulat, untuk menyediakan pelan tindakan dalam memastikan peranan pendidikan tinggi di Asia Tenggara bagi kelestarian masa hadapan dapat dilaksanakan.

SEAHES 2024 merupakan platform menjalin kerjasama para pendidik, penyelidik dan pemimpin institusi pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara untuk berkongsi pengetahuan, bertukar pandangan serta membincangkan strategi terbaik dalam memajukan pendidikan tinggi.

Hadir sama Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1246
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo