Putrajaya FOI 2026: KPT Angkat Kerjasama Penyelidikan Global Menerusi Penubuhan iUNRC

Putrajaya FOI 2026: KPT Angkat Kerjasama Penyelidikan Global Menerusi Penubuhan iUNRC
English translation not available for this content.

18 November 2026 | Putrajaya

Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 terus mengangkat agenda penyelidikan dan inovasi antarabangsa menerusi penganjuran University Network for Research Collaboration (iUNRC) yang menghimpunkan pemimpin universiti, ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai negara.

Pengisian berkenaan mencerminkan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluas jaringan kerjasama akademik global serta menggalakkan penyelidikan rentas negara yang mampu menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran bersama.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata kekuatan kerjasama universiti antarabangsa perlu diterjemahkan kepada projek penyelidikan bersama, inovasi dan hasil yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta negara.
Beliau berkata penyelidikan perlu menghasilkan nilai tambah menerusi penyelesaian kepada isu sebenar, khususnya berkaitan perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga serta kelestarian ekosistem.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik penubuhan dana inovasi iUNRC sebagai mekanisme sokongan kepada pelaksanaan penyelidikan kolaboratif, selain menggalakkan perkongsian kepakaran dan sumber antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) antarabangsa.

Menurut beliau, agenda tersebut selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memberikan penekanan kepada penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang bertanggungjawab, kerjasama global serta kelestarian dan kesihatan planet (planetary health).

Beliau turut menggalakkan peluasan mobiliti pascasiswazah, program kedoktoran bersama dan penyeliaan penyelidikan secara kolaboratif bagi membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik muda mengembangkan kepakaran dan pengalaman di peringkat antarabangsa.

Dalam hubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Chongqing University sebagai contoh hubungan akademik yang berpotensi menghasilkan lebih banyak penyelidikan bersama, inovasi dan mobiliti akademik antara Malaysia dengan China.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan iUNRC Presidents Roundtable Forum, Fourth Council Meeting and Academic Symposia 2026 yang berlangsung sebagai salah satu pengisian Putrajaya FOI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Naib Presiden Chongqing University, Prof. Jian Li.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 78
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 18 November 2026, 09:29:19.

sirim-logo