Putrajaya FOI 2026: KPT Angkat Agenda Sukan Universiti, Persiap Kontinjen Malaysia Hadapi AUG

18 November 2026 | Putrajaya
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 bukan sahaja menghimpunkan perbincangan mengenai idea, teknologi dan inovasi, malah turut mengetengahkan pembangunan bakat serta kecemerlangan sukan universiti menerusi sesi bersama Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), siang tadi.
Pengisian itu mencerminkan keluasan agenda pendidikan tinggi negara yang turut memberi perhatian kepada pembangunan atlet dan kecemerlangan sukan dalam kalangan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), selari dengan persediaan Malaysia sebagai tuan rumah AUG 2026 dari 10 hingga 19 Disember depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, turut meluangkan masa menyantuni atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia bagi menyampaikan sokongan serta menyuntik semangat menjelang temasya yang menghimpunkan atlet universiti dari negara ASEAN itu.
Sebagai tuan rumah penganjuran AUG 2026, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan dalam menyelaras persediaan temasya berkenaan yang melibatkan penyertaan atlet, pegawai serta penglibatan pelbagai IPT dalam ekosistem sukan universiti negara.
Dalam suasana penuh mesra dan semangat kesukanan, YB Menteri Pendidikan Tinggi bersama-sama tetamu kenamaan dan atlet turut melaungkan sorakan “Majulah Sukan untuk Negara!” sebagai tanda sokongan kepada kontinjen yang bakal membawa cabaran Malaysia.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Anak Bimol, turut mengadakan sesi santai bersama Kontinjen Malaysia AUG 2026 yang memberi ruang kepada atlet dan pegawai beramah mesra serta bertukar pandangan menjelang temasya berkenaan.
Sesi tersebut turut memperlihatkan kerjasama antara KPT dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memberikan sokongan kepada pembangunan sukan universiti serta persediaan atlet negara menghadapi persaingan di peringkat serantau.
Penyertaan agenda sukan universiti dalam Putrajaya FOI 2026 memperlihatkan festival itu sebagai ruang perkongsian pelbagai bidang yang membentuk masa depan pendidikan tinggi negara, termasuk pembangunan modal insan, pencapaian akademik dan kecemerlangan sukan.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 15
