Putrajaya FOI 2024, PPPTM 2026-2035, Topik Utama 'Luncheon Talk With Editors' KPT

Program 'Luncheon Talk With Editors' bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah berlangsung penuh informatif di ibu negara tengah hari tadi.
Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan para Ketua Pengarang Media Massa, selain bertukar pandangan mengenai isu-isu terkini dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menekankan pentingnya peranan media dalam menyampaikan mesej Kementerian kepada masyarakat.
“Media adalah rakan strategik kami dalam memastikan segala inisiatif KPT dapat difahami dan diterima baik oleh masyarakat. Hubungan yang erat antara kementerian dan media adalah kunci untuk memupuk kepercayaan rakyat terhadap agenda pendidikan tinggi,” ujar beliau.
YB Menteri turut berkongsi pencapaian 5 fokus utama KPT bagi tahun 2024, termasuk persiapan penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2024, yang bakal menghimpunkan idea-idea besar untuk pembangunan negara.
Beliau juga menyentuh Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, yang akan dilancarkan tidak lama lagi dan menumpukan kepada pembangunan pendidikan berasaskan kebolehpercayaan, kemampanan dan kecemerlangan global.
Program ini dilihat sebagai usaha proaktif kementerian untuk memastikan penglibatan media dalam menyampaikan mesej dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
YB Menteri turut mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada pengamal media sebagai usaha memperkukuhkan hubungan dua hala.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, bersama pegawai-pegawai kanan kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 311