Pusat Kesihatan Prima UNIMAS (PKP UNIMAS) Bakal Beri Manfaat Besar Kepada Komuniti Serta Pelajar

Pusat Kesihatan Prima UNIMAS (PKP UNIMAS) Bakal Beri Manfaat Besar Kepada Komuniti Serta Pelajar
English translation not available for this content.

Majlis penyerahan Projek Pembinaan dan Penyiapan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai pemilik projek telah berlangsung di sini pagi tadi.

Hadir mewakili KPT merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBrs. Encik Mohamad Azhan Md. Amir; Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, dan turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi.

PKP UNIMAS akan mengendalikan kes-kes kesihatan tidak kritikal sebagaimana fungsi klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lain, untuk manfaat penduduk setempat juga pelajar serta warga UNIMAS sendiri.

Pusat kesihatan harian tersebut telah dilengkapi kemudahan rawatan seperti Bilik X-Ray, Klinik Batuk, Klinik Mata, Klinik Warga, Makmal Perubatan, dan Bilik Pemeriksaan Kesihatan Awam; serta kemudahan pembelajaran bagi pelajar perubatan UNIMAS seperti Bilik Perbincangan dan Bilik Seminar.

Penyerahan PKP UNIMAS tersebut bermakna, fasa terakhir iaitu Bangunan Utama Hospital Pengajar UNIMAS dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun 2025 kelak.

JKR telah dipertanggungjawabkan bagi mengawasi dan menyelia projek tersebut dengan kos keseluruhan projek bernilai RM486 juta menggunakan kaedah Reka dan Bina. 

  • Last updated on .
  • Hits: 415
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.