Prosedur Return To University (R2U), Program Komprehensif Bantu Golongan OKU Warga UITM Kembali Ke Universiti

Prosedur Return To University (R2U), Program Komprehensif Bantu Golongan OKU Warga UITM Kembali Ke Universiti
English translation not available for this content.

Agenda inklusiviti sektor pendidikan tinggi negara yang meliputi pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) telah dimaktubkan sebagai landasan ke-20 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi sebagai usaha melonjakkan sektor tersebut ke prestasi yang lebih cemerlang.

Justeru, kerjasama antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) patut diberi pujian kerana mampu membangunkan prosedur Kembali ke Universiti (Return To University - R2U) yang bersifat komprehensif dalam menyediakan persekitaran pengajaran, pembelajaran dan pekerjaan yang selamat kepada semua warganya - pentadbir, pensyarah dan pelajar - untuk kembali ke universiti setelah pulih atau stabil dari kecederaan atau penyakit.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang merasmikan pelancaran prosedur tersebut di sini petang tadi, turut berharap agar prosedur R2U atau seumpamanya dapat diperluas ke IPT lain serata negara.

"Semoga inisiatif ini, bukan sahaja memberi manfaat kepada UiTM, malah boleh diadaptasi bagi program pengurusan hilang upaya di IPT seluruh Malaysia dan dipanjangkan di sektor-sektor awam yang lain", ujarnya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan prosedur R2U juga dijangka dapat mengurangkan kos perubatan atau pampasan berkaitan pekerjaan dan pembelajaran (PdP) di sektor pendidikan tinggi, sekali gus dapat mengurangkan kehilangan bakat yang masih mampu menyumbang bakti serta mampu menjimatkan perbelanjaan pengurusan negara pada masa hadapan.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyerahkan sijil kepada 14 orang warga akademik UiTM yang berjaya mendapat pensijilan antarabangsa yang berprestij dan bergelar Certified Disability Management Professional (CDMP).

Selain itu, petang tadi juga nama UiTM telah dicatatkan dalam buku Malaysia Book of Records kerana berjaya menyalin 250 buah bahan bacaan secara digital untuk dibraillekan oleh KL Braille Resources melalui Projek Braillethon 2024 yang dianjurkan semalam bersempena ulang tahun ke-25 UiTM.

"Itu saya fikir satu pencapaian yang amat baik dan memberikan akses kepada bukan sahaja OKU tetapi juga pembaca yang lain, buku-buku itu boleh digunakan terutama golongan siswa OKU untuk membuka gedung ilmu yang berada di sekitar kita", kata beliau.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose; dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin. 

  • Last updated on .
  • Hits: 327
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.