Promosi Institusi Pendidikan Tinggi Negara
Para wakil diplomat Malaysia di negara asing diseru untuk membantu KPT dalam mempromosikan sektor pendidikan tinggi negara bagi menarik minat para pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka di sini.
Langkah tersebut merangkumi kursus-kursus pengajian, program mobiliti pelajar dan pengajar serta aktiviti penyelidikan dan inovasi antara IPT dalam dan luar negara.
YB Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan hasrat tersebut sewaktu menerima kunjungan hormat daripada 3 orang Duta Besar Malaysia yang bakal memulakan tugasan mereka tidak lama lagi.
Mereka terdiri daripada TYT Dato' Syed Md. Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin (Republik Indonesia), TYT Ruzaimi Mohammad (Republik Kenya) dan TYT 'Alauddin Mohd Nor (Kuwait).
Kunjungan ringkas mereka pada petang tadi di pejabat YB Menteri turut membincangkan beberapa perkara berkenaan kebajikan dan keselamatan para pelajar Malaysia serta meneroka ruang-ruang kerjasama strategik antara Malaysia dengan negara-negara luar.
Di akhir pertemuan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled turut mengucapkan selamat berangkat dan selamat bertugas kepada mereka serta mengingatkan untuk senantiasa menjaga hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara tugasan mereka.
Turut sama YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT dan YBhg. Datin Noorazah Omar, SUB Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT.
- Last updated on .
- Hits: 3750