Program UTC 3.0 Gabung Kepakaran Universiti Dengan Ilmu Komuniti, Cetus Inovasi Keusahawanan

29 Oktober 2026 | Tanjong Malim, Perak
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan penutupan Program University to Community (UTC) 3.0 dan menyampaikan anugerah kepada para pemenang pada majlis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Program anjuran Seksyen Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI itu melibatkan 21 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), 420 mahasiswa, 42 ahli akademik dan mentor serta 21 komuniti penerima manfaat bagi membangunkan perusahaan sosial berasaskan keperluan setempat.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata pendekatan penciptaan bersama (co-creation) yang menggabungkan kepakaran akademik dengan pengetahuan dan pengalaman komuniti penting bagi menghasilkan produk inovatif yang memenuhi keperluan pengguna serta mempunyai potensi pasaran.
Melalui pendekatan itu, mahasiswa menyumbangkan kepakaran dalam teknologi, pengurusan kewangan dan pemasaran, manakala komuniti berkongsi pengetahuan setempat bagi membantu pembangunan serta penambahbaikan produk berdasarkan keperluan sebenar pengguna.
Beliau turut menekankan kepentingan mahasiswa memanfaatkan teknologi digital untuk memasarkan produk, mengenal pasti peluang perniagaan dan membina permintaan pasaran melalui kreativiti serta inovasi.
Pelaksanaan UTC 3.0 yang bermula pada November 2025 merangkumi latihan jurulatih, kem latihan perusahaan sosial, bengkel pengkomersialan dan simposium bagi membimbing mahasiswa membangunkan model perniagaan, mengurus kewangan serta merancang pemasaran.
Komuniti yang terlibat termasuk masyarakat Orang Asli, ibu atau bapa tunggal, isi rumah berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), komuniti pertanian, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), warga emas dan komuniti prospek penjara.
Kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut menyokong program itu, termasuk melalui penyampaian Anugerah Khas PUNB kepada tujuh penerima pingat emas sebagai pengiktirafan terhadap hasil usaha peserta dalam bidang keusahawanan sosial.
Pada majlis itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memenangi kategori Projek Terbaik, Pembentangan Terbaik dan Komuniti Terbaik, manakala Universiti Multimedia (MMU) menerima anugerah Pempamer Terbaik.
Sementara itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menyaksikan penyerahan sumbangan sebuah kenderaan elektrik Proton E.MAS 7 daripada Proton Holdings kepada UPSI bagi menyokong pembelajaran praktikal dan penyelidikan berkaitan teknologi kenderaan elektrik serta inovasi hijau.
Sumbangan itu diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings, YBhg. Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa kepada Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff, dalam majlis yang turut menyaksikan upacara pemotongan reben sebagai simbolik penyerahan kenderaan berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Ahmad Zairi Mohd Soieb; serta Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria.
- Last updated on .
- Hits: 10
