Program Semarak Ilmu 2026 @KPT Isi Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat KPT

7 Mei 2026 | Putrajaya
Bahagian Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Program Semarak Ilmu 2026 @KPT yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian di sini tanggal 24 April lalu.
Program bagi membina minda dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga Kementerian tersebut merupakan permulaan untuk siri aktiviti kempen Galakan Membaca yang sedang, telah dan akan dilaksanakan secara berjadual sepanjang tahun 2026 ini.
Penganjuran program ini juga adalah bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun sebagai usaha menggalakkan budaya pembacaan dan penerbitan sambil mewujudkan kesedaran terhadap perlindungan harta intelek dan hak cipta.
Ia juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan kempen budaya membaca yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia serta inisiatif Dekad Membaca Kebangsaan.
“Membaca Membina Bangsa” telah dipilih sebagai tema pada tahun ini untuk memperkukuh gelombang gerakan membaca dalam kalangan masyarakat dan khususnya warga KPT.
Antara pengisian menarik yang telah diatur pada tahun ini termasuk Program Telaah : Bicara Buku Booster Diri yang disampaikan oleh YBrs. En. Mohd. Azimin Che Wil, Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Kewangan dan Jom Baca Bersama 10 Minit (sesi bacaan serentak secara beramai-ramai).
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pembaca Aktif Tahunan 2025 (kategori pengurusan & professional dan kategori pelaksana) dan Bahagian Paling Aktif – Library 2U sebagai penghargaan kepada warga yang aktif dalam aktiviti Pusat Sumber KPT.
Penyertaan hadirin yang hadir adalah menggalakkan iaitu dari warga KPT, JPT, JPPKK dan pelajar dari UiTM Kampus Puncak Perdana, UPNM, UPM, USIM dan UKM, Politeknik Shah Alam dan Kolej Komuniti Hulu Langat.
- Last updated on .
- Hits: 66
