Program Pewaris Karisma Zon Sabah Teruskan Agenda Mahasiswa Kalis Masa Hadapan

Program Pewaris Karisma Zon Sabah Teruskan Agenda Mahasiswa Kalis Masa Hadapan
English translation not available for this content.

“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini," demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud memetik kata-kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi dalam ucapan perasmian penutupnya di hadapan hampir seratus peserta Program Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI (PEWARIS KARISMA) zon Sabah di sini petang tadi.

Ujar YB Timbalan Menteri (YBTM), sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur dan begitu jua sebaliknya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri telah berkolaborasi menganjurkan Program PEWARIS KARISMA zon Sabah di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang selama tiga hari.

Program PEWARIS KARISMA yang merupakan cetusan idea daripada YB Menteri Pendidikan Tinggi melalui agenda 'Nurturing Young Future Leader' memberi pemahaman kepada mahasiswa menerusi modul kenegaraan, pemahaman berkaitan Gagasan Malaysia MADANI serta melatih daya tahan fizikal dan mental mahasiswa.

Program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kesedaran jati diri dalam aspek kepimpinan dan komunikasi.

Selain itu, program ini juga memberi penekanan terhadap nilai integriti bagi penyerlahan bakat setiap mahasiswa selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 -2025 (Pendidikan Tinggi) PPPM(PT).

"Pihak Kementerian berharap melalui pelaksanaan program ini dapat melahirkan 'Future-proof talent' (mahasiswa kalis masa hadapan) yang mampu memacu pembangunan negara," ulas YBTM.

Jelasnya lagi, sistem pendidikan negara akan terus berperanan sebagai ‘game changer’ ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

"Justeru itu, pihak Kementerian akan terus komited memberi tumpuan khusus menjayakan 'Student Future Gathering' terutamanya di Sabah dengan mempergiat kerjasama dan libat urus melalui pendekatan 'Quadruple Helix' dalam pembangunan pelajar," tambahnya lagi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar JPT, Hirman Awang; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengurus Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, Pusat Akademi Kenegaraan Malaysia, Shonitah Terang; Pegawai-pegawai kanan kerajaan dan; pegawai-pegawai Majlis Kepimpinan Universiti-universiti Awam (MAKLUM). 

  • Last updated on .
  • Hits: 376
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo