Program Libat Urus Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Perwakilan Negara Luar Perkukuh Usaha Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi

Program Libat Urus Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Perwakilan Negara Luar Perkukuh Usaha Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Program Libat Urus antara Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan para perwakilan negara luar di Malaysia yang merupakan satu platform bagi memberi pemahaman tentang landskap dan hala tuju pendidikan tinggi Malaysia, sejajar dengan matlamat serta tujuan yang digariskan dalam Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2024.

Ia telah dihadiri oleh para diplomat asing ke Malaysia, wakil-wakil Kementerian Luar Negeri (KLN); Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Malaysia (MITI); selain Institut Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta.

Program ini juga menjadi titik tolak sesi perkongsian rangkaian rasmi semua perwakilan diplomatik di Malaysia bersama YB Menteri sejak pelantikan beliau Disember tahun lalu.

Sesi libat urus ini merupakan satu platform yang bermanfaat bagi perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai kerjasama semasa dan juga masa hadapan berkaitan pendidikan tinggi.

Di samping dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara-negara luar, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan lagi keterlihatan taraf pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa.

Selain perbincangan dan pertukaran pendapat, program ini juga menampilkan pameran daripada IPT awam dan swasta yang mempromosikan kepelbagaian program mobiliti.

Melalui penganjuran pameran ini, ia diharap dapat membuka peluang bagi para perwakilan untuk meneroka setiap program mobiliti yang ditawarkan oleh pihak universiti yang menawarkan pengalaman bermakna kepada pelajar luar negara.

Hadir sama barisan pengurusan tertinggi KPT, jabatan, agensi dan Naib Canselor universiti awam tempatan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1158
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.