Program IZaWeN Sasar Perkasa Dana Zakat, Wakaf Dan Endowmen Di IPT

Program IZaWeN Sasar Perkasa Dana Zakat, Wakaf Dan Endowmen Di IPT
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyeru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta meningkatkan dana zakat, wakaf dan endowmen masing-masing demi kelestarian kewangan dalam usaha memacu kecemerlangan setanding IPT tersohor dunia.

Kejayaan mereka dalam membina reputasi sedemikian terbentuk hasil pengurusan kewangan berteraskan sokongan penuh penyumbang dan insiatif pendanaan yang lestari lagi progresif.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, pengurusan dana yang diperolehi dari sistem zakat, wakaf dan endowmen ini perlu diurus dengan baik dan telus agar kelestarian maslahatnya terjaga.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Program Kelestarian Pendapatan Universiti melalui Integrasi Zakat, Wakaf dan Endowmen (IZaWEn) anjuran Akademi Pendidikan Tinggi (AKEPT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bahagian Governan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program ini dilancarkan sebagai sebuah program pemerkasaan dengan melibatkan para pemain utama dalam pengurusan zakat, wakaf dan endowmen dari seluruh universiti awam, swasta dan agensi terlibat.

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro Canselor USIM telah turut berkenan berangkat bagi merasmikan program ini di USIM petang tadi.

Pada majlis tersebut YAM Tunku turut berkenan melancarkan Modul IZaWEn yang dibangunkan oleh UMT yang bertujuan untuk memberi latihan kepada universiti agar dapat mengurus dan meningkatkan dana zakat, wakaf dan endowmen.

Selain itu, Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti (MAWEZ) turut dilancarkan yang akan berfungsi sebagai badan penggerak pendanaan universiti.

Hadir sama Pengarah AKEPT, YBrs. Prof. Dr Harshita Aini Haroon; Naib Canselor UMT, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mazlan Abd Ghaffar; serta Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.

  • Last updated on .
  • Hits: 883
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.