Program Incubator Top Agropreneur 2.0 Lahirkan Usahawan Tani Celik Teknologi
Transformasi ekonomi global yang dipacu oleh teknologi terkedepan (frontier technologies) seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Kebendaan (Internet of Things - IoT) menuntut perubahan drastik dalam landskap pertanian negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan mahasiswa tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan menerapkan elemen pendigitalan dalam kurikulum keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Penganjuran Program 'Incubator Top Agropreneur 2.0' dilihat sebagai platform strategik bagi melatih pelajar mengaplikasikan teknologi pintar dalam meningkatkan kecekapan sektor agromakanan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian menjelaskan bahawa integrasi teknologi adalah kunci kepada pertanian moden yang berskala tinggi dan mampan.
Bercakap ketika merasmikan program tersebut siang tadi, beliau berkata program tersebut bermatlamat memperkasakan pelajar dengan kemahiran teknikal terkini sekali gus membina keyakinan mereka untuk menjadi pencipta pekerjaan dalam bidang agrotek.
Sebanyak 22 buah produk inovasi yang dibangunkan oleh peserta Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya diketengahkan, meliputi penyelesaian (solution) pertanian pintar yang berpotensi dikomersialkan ke pasaran lebih luas.
Kolej Komuniti Bentong telah mempamerkan keunggulan inovasi apabila merangkul gelaran Johan serta Anugerah Khas Inovasi dan Kreativiti dalam pertandingan kali ini.
Kejayaan penganjuran program ini adalah hasil kerjasama strategik antara Bahagian Perancangan Strategik KPT dan Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku penyelaras.
KPT berharap agar produk-produk yang dihasilkan dapat memberi impak langsung kepada komuniti serta menyumbang kepada pendapatan tambahan rakyat melalui aplikasi teknologi.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah; serta wakil-wakil industri dan agensi kerajaan berkaitan.
- Last updated on .
- Hits: 648