Prof. Seyyed Vali R. Nasr Kongsi Perspektif Geopolitik Asia Barat di Sesi Syarahan Umum KPT

Prof. Seyyed Vali R. Nasr Kongsi Perspektif Geopolitik Asia Barat di Sesi Syarahan Umum KPT
English translation not available for this content.

12 Mei 2026 | Putrajaya

Pemahaman mendalam terhadap dinamika geopolitik dunia serta hubungan antara sejarah, identiti dan kuasa menjadi elemen penting dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu terus menjadi medan pencerahan ilmu dan pemikiran kritikal dalam membantu masyarakat memahami konflik antarabangsa secara lebih objektif dan berfakta.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, universiti memikul tanggungjawab besar dalam membentuk keberanian intelektual bagi menghuraikan isu-isu global dengan hikmah, berteraskan ilmu, etika dan kemanusiaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Syarahan Umum bertajuk “Tamadun dalam Tekanan: Ilmu, Etika dan Kepimpinan dalam Era Konflik Global (Civilisation Under Strain: Knowledge, Ethics and Leadership in a Time of Global Conflict)” yang disampaikan oleh tokoh akademik antarabangsa, Prof. Seyyed Vali R. Nasr.

Prof. Nasr ialah Profesor Pengajian Asia Barat dan Hal Ehwal Antarabangsa di Universiti Johns Hopkins (Johns Hopkins University) serta diiktiraf sebagai antara tokoh akademik terkemuka dunia dalam bidang geopolitik Asia Barat dan hubungan antarabangsa.

Dalam syarahan tersebut, beliau mengupas perubahan landskap politik global termasuk kedudukan Iran sebagai sebuah “negara tamadun” yang mempunyai pengaruh besar dalam percaturan geopolitik dunia moden.

Program yang berlangsung di Dewan Za’ba KPT petang tadi, dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kehadiran Prof. Nasr disifatkan sebagai peluang penting kepada warga akademik tempatan untuk memahami secara lebih objektif ketegangan geopolitik Asia Barat melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang kini mempengaruhi ekonomi, keselamatan dan kestabilan global.

Dalam sidang media selepas program, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi gencatan senjata yang masih rapuh di Asia Barat serta implikasinya terhadap kestabilan serantau termasuk di Asia Tenggara.

Sementara itu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan KPT akan terus memperluas jaringan kerjasama bersama tokoh intelektual dunia dalam usaha memperkukuh budaya ilmu, mematangkan wacana akademik dan mengelakkan masyarakat daripada terperangkap dalam polarisasi pemikiran.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk terus berkembang sebagai hab kecemerlangan ilmu yang mampu menyumbang idea serta penyelesaian strategik terhadap isu keamanan dan cabaran sejagat.

Majlis ilmu itu turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kementerian, jabatan, agensi dan universiti termasuk Ketua Setiausaha, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), En. Ahmad Rizal Adnan. Syarahan umum ini juga telah dikendalikan oleh Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon. 

  • Last updated on .
  • Hits: 48
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 13 May 2026, 03:58:49.

sirim-logo