ProCEED 3.0 KPT Sasar Lahir Tenaga Pengajar Keusahawanan Profesional

ProCEED 3.0 KPT Sasar Lahir Tenaga Pengajar Keusahawanan Profesional
English translation not available for this content.

Program Proficiency Certificate for Entrepreneurship Educator (ProCEEd) 3.0 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan kecekapan, kepakaran dan bilangan pendidik mahir dalam bidang keusahawanan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Jelas Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, melalui ProCEED 3.0 juga, tenaga pengajar yang profesional dapat dilahirkan sekali gus mampu menjadi mentor perniagaan yang berwibawa kepada mahasiswa.

Beliau yang diwakili oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBrs. Puan Fazidah Mustafa telah menyempurnakan majlis penutup ProCEED 3.0 di sini petang tadi.

Program yang dianjurkan bersama Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah disertai seramai 76 orang peserta daripada 20 buah IPT.

Kursus yang diadakan di Institute of Leadership and Development (ILD) UiTM pada 23 hingga 29 Oktober 2023 lalu, telah mendedahkan para peserta kepada tiga (3) modul iaitu Asas Keusahawanan; Keusahawanan Digital; dan Endurance Keusahawanan Sosial.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam pembangunan modul keusahawanan yang begitu signifikan bagi ProCEED kali ini.

Menurutnya, KPT amat komited dalam memenuhi hasrat Kerajaan untuk membangunkan lebih ramai bakat usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan sebagaimana yang telah digariskan melalui agenda keusahawanan Kementerian yang telah dimulakan sedari tahun 2010.

"Sesungguhnya, usaha secara kolaboratif antara semua pihak sudah pasti akan membuahkan kejayaan yang lebih memberangsangkan", ujar beliau.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED UiTM, Prof Ts. Dr. Salmiah Kasolang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 454
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo