Presiden Brazil Terima Ijazah Kehormat UKM, Perkukuh Hubungan Selatan Global

Presiden Brazil Terima Ijazah Kehormat UKM, Perkukuh Hubungan Selatan Global
English translation not available for this content.

Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global) kepada Presiden Republik Persekutuan Brazil, TYT Luiz Inácio Lula da Silva dalam Majlis Konvokesyen Khas anjuran universiti tersebut di ibu negara semalam.

Turut berangkat DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud; Pro-Canselor UKM, YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; yang diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Hadir sama Pro-Canselor UKM, Tan Sri Datuk Rafiah Salim; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh.

Penganugerahan itu adalah bagi mengiktiraf sumbangan besar Presiden Brazil itu, selain memperkukuh hubungan diplomasi akademik dan persahabatan erat antara Malaysia dengan negara-negara Selatan Global.

Pengiktirafan ini juga selaras dengan peranan UKM yang menempatkan Pusat Kajian Amerika Latin (iKAL), iaitu pusat penyelidikan aktif di Asia Tenggara yang bekerjasama rapat dengan negara-negara MERCOSUR.

TYT Presiden Lula da Silva yang dipilih untuk penggal ketiga pada 2022, terkenal dengan dasar kemajuan sosial dan program agihan pendapatan seperti Bolsa Família semasa pentadbiran terdahulu beliau.

TYT Presiden Brazil itu berada di ibu negara bagi mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, di mana beliau hadir sebagai Tetamu Pengerusi untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober nanti.

Dalam rangka lawatannya juga, TYT Presiden Lula da Silva akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana untuk menilai hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama baharu kedua-dua negara.

Beliau juga dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) serta menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 pada 27 Oktober nanti. 

  • Last updated on .
  • Hits: 184
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 31 October 2025, 08:38:15.

sirim-logo