Politeknik Ungku Omar Terima Kunci Kampus Cawangan Bercham

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pagi tadi telah menyaksikan penyerahan rasmi Kampus Cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Projek kampus cawangan baharu ini yang menelan kos sebanyak RM27.1 juta ini telah dimulakan pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024.
Pembinaannya melibatkan kerjasama antara JKR Cawangan Kerja Pendidikan, JKR Negeri Perak dan JKR Daerah Kinta sebagai penguasa projek.
Kampus ini dijangka menampung 1,200 pelajar bagi lima (5) program utama iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan.
Kemasukan pelajar akan dilakukan secara berfasa mulai Februari 2025 dan dijangka sepenuhnya pada Ogos 2025.
Kampus ini dilengkapi dengan enam (6) bilik 'Technology-enabled Collaborative Classroom' (TeCC) yang menyokong teknologi Realiti Maya (VR).
Kemudahan lain termasuk Ruang Simulasi Bank yang diinspirasikan daripada konsep bank sebenar, capaian internet di seluruh kampus serta elemen Kampus Hijau seperti penggunaan lampu penjimatan tenaga dan sistem Pengumpulan Air Hujan yang inovatif.
Penubuhan kampus ini sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035.
Ia memberi fokus kepada pembangunan program TVET mampan, teknologi terkini dan ruang pembelajaran yang kondusif.
Kampus ini juga diharap mampu menyokong pembangunan kompetensi pensyarah serta penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan bagi menyumbang kepada ekonomi mampan negara.
- Last updated on .
- Hits: 324