PMR Perak 2026: YAB Perdana Menteri Seru Perkasa Semangat 'Itqan Fil Amal' Depani Cabaran Ekonomi Global

PMR Perak 2026: YAB Perdana Menteri Seru Perkasa Semangat 'Itqan Fil Amal' Depani Cabaran Ekonomi Global
English translation not available for this content.

5 April 2026 | Ipoh, Perak

Pencapaian komuniti yang harmoni dan lestari memerlukan komitmen tinggi terhadap peningkatan kualiti kerja yang berterusan dalam setiap sektor perkhidmatan awam termasuk pendidikan tinggi.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, menyeru seluruh perkhidmatan awam termasuklah warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menghayati prinsip 'Itqan Fil Amal' bagi mencapai tahap prestasi yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

Semangat kecemerlangan ini dizahirkan beliau semasa merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Perak 2026 bertemakan "Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni" di Bulatan Sultan Azlan Shah semalam.

Beliau menekankan bahawa pendedahan maklumat melalui reruai pameran agensi kerajaan bukan sekadar untuk menyampaikan data, malah merupakan ruang untuk menerima teguran konstruktif daripada masyarakat.

KPT sebagai peneraju bakat negara harus peka terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang kini melebihi jangkaan hasil kestabilan pelaburan dan kadar inflasi yang rendah.

YAB Perdana Menteri turut mengingatkan agar budaya selesa tidak dibiarkan meresap dalam organisasi kerana ia mampu melemahkan daya saing negara di peringkat global.

Dalam konteks pendidikan, nilai keberanian mempertahankan kedaulatan negara seperti pendirian tegas Malaysia menolak serangan terhadap Iran perlu diterapkan secara konsisten kepada generasi muda.

Ketabahan menghadapi krisis ekonomi dunia akibat konflik antarabangsa menuntut pengurusan sumber yang lebih kreatif dan terkawal oleh semua pihak melalui pendekatan "Creative Destruction".

Penjawat awam disaran mencari jalan penyelesaian inovatif bagi menyelamatkan masa depan negara melalui pemantauan budaya kerja yang lebih bertanggungjawab termasuk cadangan bekerja dari rumah.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Yang Dipertua Dewan Negara, Dato' Awang Bemee Awang Ali Basah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 111
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 09 April 2026, 08:49:04.

sirim-logo