Pertandingan Huawei ICT APAC 2025, Perkukuh Jaringan Digital Serantau

Pertandingan Huawei ICT APAC 2025, Perkukuh Jaringan Digital Serantau
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah hadir menyampaikan ucaptama bagi majlis penutup Pertandingan Huawei ICT Peringkat Asia Pasifik ke-9 yang telah diadakan di ibu negara petang tadi.

Pertandingan anjuran gergasi telekomunikasi dunia, Huawei tersebut berjaya menghimpunkan penyertaan para pelajar, pendidik, dan pemimpin industri dari seluruh rantau Asia Pasifik bagi meraikan kecemerlangan inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam ucaptamanya, beliau menekankan peranan pertandingan ini sebagai jambatan antara dunia akademik dan industri bagi membolehkan pelajar mengembangkan bakat dalam bidang ICT.

“Huawei ICT Competition adalah contoh terbaik bagaimana sinergi antara industri dan akademia dapat merapatkan jurang antara teori dan aplikasi dunia sebenar yang bukan sekadar pertandingan tetapi satu platform melahirkan bakat digital berkualiti tinggi,” ujar beliau.

Hadir sama Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn; dan Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr. Piti Srisangnam, yang turut menzahirkan penghargaan kepada Huawei yang diwakili oleh Presiden Rantau Asia Pasifiknya, Simon Lin Bai Feng, atas komitmen mereka dalam membangunkan bakat digital di rantau ini.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Hadiah Utama bagi setiap kategori pertandingan kepada pasukan terbaik yang berjaya menampilkan inovasi cemerlang masing-masing.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Huawei ICT Competition telah berkembang menjadi platform global yang menarik lebih daripada 750,000 peserta dari seluruh dunia dan pada tahun ini sahaja lebih 8,000 pelajar dari 10 negara dan wilayah.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menekankan keperluan menyesuaikan pendidikan tinggi dengan keperluan industri bagi memastikan kelangsungan tenaga kerja digital masa depan yang bukan sekadar pengguna teknologi tetapi pencipta inovasi masa hadapan.

Beliau juga menyinggung berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang tekal memberi fokus kepada membina sistem pendidikan tinggi yang inklusif dan berpandangan jauh sejajar dengan transformasi digital global.

Tambahnya lagi, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan terus menggalakkan pertumbuhan digital inklusif dan memperkukuh kerjasama akademik serantau melalui kerjasama strategik bersama para pemain utama industri seperti Huawei.

Sebanyak 16 pasukan terbaik dari rantau Asia Pasifik telah berjaya mara ke peringkat global di Shenzhen, China, membawa harapan dan kebanggaan negara masing-masing dalam persaingan peringkat tertinggi dunia ICT tersebut.

Melalui kejayaan penganjuran acara ini juga, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan digital di rantau ini. 

  • Last updated on .
  • Hits: 452
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo