Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025: KPT Perkasa Peranan Melalui Kolaborasi Strategik Bersama KPKM

Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjadi pemacu kejayaan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK2025) yang telah disempurnakan penutupannya oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud semalam.
YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapannya menegaskan bahawa keterjaminan makanan tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan sokongan silang sektor, termasuk daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai agen penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.
Menurut beliau, cabaran global dalam aspek keterjaminan makanan seperti perubahan iklim dan ketidaktentuan rantaian bekalan memerlukan pendekatan lestari dan responsif, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara.
Beliau turut memuji inisiatif UPM yang membangunkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM, yang dilihat sebagai satu kerangka panduan strategik dalam memperkukuh penyelidikan dan penglibatan IPT dalam usaha keterjaminan makanan di peringkat nasional dan global.
Terdahulu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Keterjaminan Makanan: Peranan KPT dalam Kelestarian Bekalan Makanan Negara”, yang menggariskan peranan IPT dalam membina sistem makanan yang mampan melalui pembudayaan sains dan teknologi dalam pertanian.
PKMK2025 yang berlangsung selama dua (2) hari di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM telah menghimpunkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada penggubal dasar, penyelidik, ahli akademik, pelajar siswazah, NGO serta pemain industri makanan dan pertanian.
Antara pengisian utama termasuk sesi ucaptama, plenari, forum panel dan pembentangan hasil penyelidikan yang menumpukan isu semasa dan masa depan sekuriti makanan seperti transformasi petani moden, agrobiodiversiti, impak tarif global serta status pelaksanaan dasar keterjaminan makanan negara.
Persidangan ini membuktikan ketekalan UPM sebagai peneraju bidang keterjaminan makanan dan pertanian tropika serta rujukan kebangsaan dalam aspek inovasi dan dasar pertanian.
Penganjuran PKMK2025 turut mendapat sokongan pelbagai sektor korporat dan dijangka menjadi pemangkin kepada rangka tindakan strategik nasional dalam membina sistem makanan berdaya tahan serta merapatkan kolaborasi rentas Kementerian, industri dan akademia.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo; dan Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
- Last updated on .
- Hits: 193