Perjuangan Gerakan Pelajar Diseru Cakna Isu Rakyat Jayakan Malaysia MADANI
Golongan mahasiswa mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di mata masyarakat kerana mereka dianggap sebagai golongan yang pintar, bersahsiah serta matang.
Potensi mahasiswa ini membuatkan kerajaan turut menyandar masa hadapan negara kepada mereka.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam pelan pembinaan semula negara melalui gagasan Malaysia MADANI, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengharapkan gerakan mahasiswa turut mengangkat usaha ini sebagai sebuah perjuangan.
Beliau berkata demikian di hadapan 241 orang wakil gerakan pelajar yang menghadiri Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) se-Malaysia sesi 2022/2023 di sini malam tadi.
Jelas beliau, perjuangan gerakan-gerakan pelajar ini perlu cakna dan arif akan isu dan permasalahan yang melingkari rakyat dewasa ini yang seterusnya mampu menghijrah benak pemikiran dan sikap mereka.
Sebuah strategi menggunakan kebijakan dan pengalaman yang ditimba di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) patut diterapkan dalam memperjuangkan isu rakyat dan kebangsaan, tambahnya lagi.
Katanya, generasi baharu bercirikan nilai-nilai murni Malaysia MADANI perlu dilahirkan di masa hadapan kerana itulah langkah terbaik dalam meletakkan kembali negara di persada kecemerlangan antarabangsa.
Konvensyen malam tadi merupakan anjuran bersama MPP UiTM dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM yang akan bersidang sehingga 6 September nanti untuk mencari resolusi dan penyelesaian dalam memenuhi keperluan mahasiswa di kesemua 13 kampus universiti tersebut.
Selain itu, penganjuran konvensyen tersebut juga turut menyahut seruan KPT dalam memperkasakan golongan mahasiswa bagi memenuhi aspirasi pembangunan bakat tempatan yang berketerampilan.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Datuk Omar Shariff Mydeen, serta Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor.
- Last updated on .
- Hits: 2306