Peranan KPT Dalam AI, Penguasaan Bahasa Arab, Dan Penganjuran Fim Jadi Topik Sesi Townhall Bersama YAB PM

Kecerdasan buatan (AI), Institut Bahasa Arab al-Azhar, serta penganjuran Forum Ilmuwan Malaysia MADANI telah menjadi antara fokus utama yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sesi townhall sempena Sambutan Dua Tahun (2TM) Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pada sesi tersebut, beliau telah disertai kedua-dua Timbalannya, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Datuk Seri Fadillah Yusof.
YAB Perdana Menteri menekankan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan relevan dengan keperluan industri, terutama dalam bidang teknologi seperti AI.
Beliau turut menekankan pentingnya memperkasakan peranan Institut Bahasa Arab al-Azhar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam mengukuhkan penguasaan linguistik para pelajar sebelum melanjutkan pengajian di IPT di Timur Tengah.
Selain itu, penganjuran FIM oleh KPT bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC/GLIC) turut mendapat pujian YAB Perdana Menteri kerana telah menjadi platform intelek yang menggabungkan panel pakar industri, ahli akademik dan menteri kabinet dalam mengupas isu-isu kritikal berkaitan rakyat dan negara.
Majlis perasmian pagi tadi telah turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Selain itu, majlis tadi telah menyaksikan detik bersejarah upacara menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur oleh Ketua Setiausaha Negara dengan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri sebagai simbol reformasi pentadbiran dan perkhidmatan awam ke arah sistem yang lebih efisien dan responsif kepada rakyat.
- Last updated on .
- Hits: 345