Pemerkasaan Agenda 'Kita' Dan Pembinaan Negara Bangsa Jadi Teras Sektor Pendidikan Tinggi Tahun 2026
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan tahun 2026 sebagai tahun pemerkasaan agenda pembinaan negara bangsa dengan memposisikan institusi pendidikan tinggi sebagai 'otak negara' yang inklusif dan progresif.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir melontarkan naratif strategik tersebut semasa menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di hadapan ribuan warga akademia dan pemegang taruh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) juga secara penstriman langsung di seluruh negara siang tadi.
Beliau menyeru seluruh warga kementerian untuk melakukan anjakan paradigma budaya kerja daripada sifat keakuan atau 'saya' kepada semangat kebersamaan 'kita' demi memastikan tiada kelompok yang tercicir dalam arus pembangunan pendidikan negara.
Pendekatan inklusif ini menuntut layanan serta pengiktirafan yang saksama antara universiti awam, politeknik, dan kolej komuniti memandangkan setiap institusi mempunyai peranan unik dalam melahirkan modal insan pelbagai kemahiran.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa pendidikan tinggi negara perlu mengimbangi aspirasi kecemerlangan global dengan keperluan tempatan melalui sintesis ilmu Timur dan Barat bagi membentuk watak bangsa yang jati diri.
Aspek kebajikan dan keterangkuman mahasiswa terus menjadi keutamaan menerusi pemerkasaan inisiatif seperti Program Sulung dan Dapur Siswa bagi menjamin akses pendidikan yang demokratik tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
KPT juga bertekad untuk merobohkan tembok pemisah antara menara gading dan masyarakat menerusi pemindahan kepakaran intelektual yang dapat menyelesaikan masalah sebenar rakyat di lapangan secara praktikal.
Peluncuran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam merangka masa depan negara yang berpaksikan kemanusiaan (humanity centric) dan bermatlamat jelas (purpose driven).
Seluruh ekosistem pendidikan tinggi diseru untuk bergerak sederap sebagai satu pasukan yang utuh bagi menjayakan transformasi nasional ini serta mengelakkan budaya kerja secara silo yang merugikan sumber negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta para pengurusan tertinggi Kementerian, jabatan, agensi serta Institusi Pendidikan Tinggi Awam.
- Last updated on .
- Hits: 96