Pembelajaran Sepanjang Hayat Teras Transformasi Pendidikan Tinggi: KPT Lancar Tiga (3) Pusat Strategik Di UMPSA

Pembelajaran Sepanjang Hayat Teras Transformasi Pendidikan Tinggi: KPT Lancar Tiga (3) Pusat Strategik Di UMPSA
English translation not available for this content.

Sejajar dengan hasrat menjadikan Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai teras transformasi pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan tiga (3) buah pusat strategik di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memberi fokus kepada fleksibiliti, digitalisasi dan jaminan kualiti.

Peluncuran telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang dalam ucapannya menyatakan bahawa usaha tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) untuk menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih anjal, inklusif dan berdaya saing.

Tiga (3) buah pusat tersebut ialah Pusat Verifikasi Kualiti (Quality Verification Centre, QVC), Pusat Micro-credential Fleksibel (FLEXMC) dan Pusat Penilaian Pembelajaran Berpengalaman Terdahulu (APEL) Zon Pantai Timur yang kesemuanya dirangka bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pekerja, komuniti setempat dan industri.

Menurut beliau, penubuhan pusat strategik ini membuktikan komitmen KPT untuk menjadikan universiti sebagai hab pembangunan bakat yang seimbang antara ilmu akademik dan kemahiran industri, sekali gus memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Dalam konteks pelaksanaan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berperanan penting memastikan pengiktirafan, piawaian serta jaminan kualiti bagi kesemua pusat berkenaan agar ia selaras dengan keperluan industri dan antarabangsa.

Tambahnya lagi, keterangkuman menjadi asas penting bagi memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua golongan, manakala digitalisasi dan pengiktirafan pembelajaran sepanjang hayat akan terus diberi keutamaan sebagai pemacu utama ke arah ekosistem lebih lestari.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan UMPSA sebagai perintis pelaksanaan pusat strategik ini mencerminkan kemampuan universiti awam untuk melaksanakan inovasi pendidikan yang memberi manfaat terus kepada masyarakat dan negara.

Terdahulu, YBhg. Datuk Dr. Anesee telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi Bilangan 8 Tahun 2025 sebelum turut dibawa melawat sekitar Kampus Pekan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias; serta pengurusan tertinggi UMPSA bersama wakil industri dan rakan strategik KPT. 

  • Last updated on .
  • Hits: 328
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 09 September 2025, 11:20:10.

sirim-logo